Anwar diharap kekal di PD

SEREMBAN 6 Sept. – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap Presiden PKR, Anwar Ibrahim kekal bertanding di Parlimen Port Dickson bagi memberi impak positif kepada usaha PH untuk terus mempertahankan kerajaan di Negeri Sembilan.

Pengerusinya Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kehadiran Anwar di Port Dickson sudah tentu akan memberi kekuatan dan kelebihan kepada PH di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Selaku Pengerusi PH kebangsaan, kehadiran Anwar sudah pasti akan memberi kelebihan kepada kami di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pastinya usaha untuk terus mempertahankan kerajaan di Negeri Sembilan akan lebih meyakinkan.

“Justeru, kami mengharapkan beliau (Anwar) akan kekal bertanding di Port Dickson pada pilihan raya nanti,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan di Dewan Theatrette, Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Anwar masih belum membuat keputusan berhubung kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada PRU-15.

Anwar dilaporkan berkata, terdapat cadangan beberapa kerusi Parlimen seperti Permatang Pauh (Pulau Pinang), Tambun (Perak) atau Port Dickson (Negeri Sembilan), namun setakat ini belum membuat keputusan mengenainya.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, jika Anwar berpindah kerusi perlunya calon berwibawa lain menggalas tanggungjawab di Port Dickson.

“Namun begitu, saya berharap kedudukan beliau (Anwar) di Port Dickson tidak berubah,” katanya.

Mengenai kedudukannya, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menegaskan akan terus bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15 nanti.

“Saya dah biasa dengan Sikamat, dalam keadaan susah dan senang, saya mahu terus bersama dengan penduduk Sikamat. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi Sikamat,” katanya

Related posts

Leave a Comment