Kes harian Covid-19 turun

PUTRAJAYA 6 Sept. – Sebanyak 1,486 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam, dua daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,792,942 kes.

Angka kes harian semalam juga menunjukkan sedikit penurunan berbanding 1,904 yang direkodkan pada Ahad, 4 September termasuk satu kes import.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, sehingga kini jumlah kes yang masih aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah sebanyak 27,546 kes dan daripada jumlah itu 94.9 peratus atau 26,154 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu sebanyak 1,297 kes bersamaan 4.7 peratus pesakit Covid-19 sedang mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (16) serta unit rawatan rapi (ICU) (79) dengan 43 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, kadar penggunaan ICU di seluruh negara adalah di paras 62 peratus, bagaimanapun yang digunakan oleh pesakit Covid-19 adalah 21.3 peratus

Bagi kes kematian akibat Covid-19,  semalam terdapat empat kematian dilaporkan termasuk satu kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan sehingga kini sebanyak 36,249 kes meninggal dunia akibat dijangkiti dengan 7,705 kes meninggal sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Mengenai kes sembuh, sehingga semalam terdapat sebanyak 2,897 kes pulih dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah 4,729,147 kes.

Related posts

Leave a Comment