Hang Nadim usir 13 bot nelayan asing

LUMUT 6 Sept. – Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim berjaya menghalang 13  bot nelayan asing (BNA) menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Perak, Kedah, kira-kira pukul 5.55 petang semalam.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Pusat Operasi Armada (POA) Barat sebelum itu menerima maklumat daripada Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan 13 BNA di tenggara Pulau Perak.

Ia diperoleh melalui pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum disalurkan kepada komponen maritim untuk tindakan selanjutnya.

Bertindak menerusi maklumat disalurkan, KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan 13 BNA di kedudukan berkenaan.

“KD Laksamana Hang Nadim kemudian melaksanakan tindakan pengusiran semua BNA dan kekal membayangi bot berkenaan sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” katanya.

Katanya, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat pantas oleh semua agensi maritim negara berjaya mematahkan tindakan unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh kedaulatan perairan negara.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sehubungan itu, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment