1MDB: Najib hadir di mahkamah

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dalam pemerhatian selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur semalam, hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari ini untuk mengikut perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapinya.

Najib yang memakai sut warna gelap diiringi pegawai penjara memasuki bilik Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Isterinya, Rosmah Mansor turut berada di mahkamah.

Perbicaraan 1MDB hari ini mendengar keterangan bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Zauyah Mohd Desa yang disoal balas oleh peguamnya.

Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disahkan sabitan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu dengan tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Semalam, akhbar melaporkan, pegawai khasnya memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu berada dalam keadaan stabil selepas melalui semua pemeriksaan perubatan yang diperlukan.

Bagaimanapun punca beliau dimasukkan ke hospital masih menjadi tanda tanya kerana tidak didedahkan kepada umum.

Related posts

Leave a Comment