Tarik bukan Melayu sokong Pas

ALOR SETAR 4 Sept. – Pas perlu mengambil pendekatan bagi memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini turut menyokong parti itu, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Katanya, Pas perlu mengecilkan pihak lawan dengan memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini turut menyokong parti itu.

Justeru, Pas perlu mencari parti dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang bukan Islam untuk bergabung.

“Jangan meramaikan lawan, jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita.

Perkara ini diajar oleh Nabi Muhammad dan akhirnya Islam berdaulat dengan pendekatan mengecilkan lawan.

Alhamdulillah, akhir-akhir ini kita dapat menembusi masyarakat dan sebab itu ahli kita bertambah dan kita lebih maju apabila berjaya menembusi benteng yang memisahkan kita dengan orang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

Abdul Hadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bermula dari pucuk pimpinan hingga ke akar umbi untuk berperanan mencapai matlamat itu dengan ‘masuk’ ke dalam komuniti masyarakat bukan Islam.

“Kalau DAP boleh lantik ahli Pparlimen daripada orang India di kawasan majoriti Cina, mengapa kita tak boleh minta orang Cina sokong kita dalam pilihan raya. Mengapa mereka tak boleh pilih Melayu?

“Jadi perkara ini kita baiki untuk tembusi benteng dengan menggegar tembok bagi mencapai kejayaan yang besar,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kaedah menggerakkan mereka yang ‘tidur nyenyak’ perlu dilakukan dengan penuh bijaksana dan berhemah.

“Seperti kita gerak (kejutkan) orang tidur untuk bersembahyang. Jangan ambil air terus jirus di kepala dia, bertumbuk jawabnya. Gosok dulu dengan beradab, nasihat dia dan itulah caranya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment