Rugi jika KJ tidak bertanding

PUTRAJAYA 4 Sept. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, disifatkan sebagai ‘aset politik’ cukup penting bagi menyumbang kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Reezal Merican Naina Merican.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, ini kerana Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, memiliki aura tersendiri yang boleh membantu mengekalkan momentum kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Pengumuman Khairy Jamaluddin membayangkan “worst-case scenario” tidak bertanding pada PRU-15 dilihat sebagai satu kerugian,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau malam ini..

Beliau berkata , Khairy juga dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi, terutama kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.

Semalam, Khairy mengesahkan senario terburuk baginya adalah tidak akan bertanding selepas diminta ‘memberi laluan dan mencari tempat lain’ oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu bertanding di Rembau serta mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Khairy dipetik berkata, beliau tidak mengetahui kerusi mana bakal ditandinginya pada PRU-15 kerana tiada pernah menjangka perlu keluar dari Parlimen Rembau.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, beliau mengenali Khairy secara peribadi sejak mereka sama-sama bergiat aktif dalam Pemuda UMNO.

“Kita semua dapat melihat beliau mempunyai kebolehan tersendiri untuk ‘deliver’ (menyampaikan) serta melunaskan tanggungjawab dengan baik.

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun, ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya,” katanya.

Malah, Reezal Merican berkata, Khairy dilihat sebagai seorang rakan Menteri yang sering memberi hujah bernas dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kepimpinan beliau juga diiktiraf pada peringkat antarabangsa sehingga membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 pada Mei lalu.

“Seperti manusia lain juga, KJ tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehan KJ sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik yang cukup penting untuk kemenangan parti pada PRU-15,” katanya.

Related posts

Leave a Comment