Pas mahu terus kerjasama dengan UMNO

ALOR SETAR 4 Sept. –  Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 yang berakhir hari ini meluluskan 13 usul termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Usul yang dikemukakan Dewan Ulama Pas Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN).

Langkah itu adalah untuk memastikan strategi satu lawan satu pada PRU15 dan mengelak pertembungan parti politik teras Melayu-Islam.

Ketika sesi perbahasan usul itu di Kompleks Pas Kedah, di sini, perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Roslan Md Isa, berkata Pas perlu menyatukan parti-parti politik teras Melayu-Islam supaya tidak berlaku perpecahan undi.

“Kita juga menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) serta khemah besar,” katanya.

Perwakilan dari Taiping, Mahjube Hanafi, ketika menyokong usul itu berkata kepemimpinan Pas perlu mengeluarkan surat jemputan kepada pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan rundingan agar sasaran satu lawan satu direalisasikan.

“Saya percaya undi UMNO adalah penting untuk kita mewujudkan politik Melayu-Islam di negara ini.

Walaupun Presiden UMNO ada menyebut jangan terhegeh-hegeh hendak bersama Pas kita kena melihat juga hubungan Pas dengan UMNO dalam kalangan ahli akar umbi yang begitu mesra umpama kepala kereta api dengan gerabak,” katanya.

Muktamar turut meluluskan usul Pas perlu menerajui gerakan Islam bagi penyatuan ummah merentasi sempadan negara dan benua.

Perwakilan Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hanif Jamaluddin ketika membahaskan usul berkata, cadangan itu dikemukakan susulan krisis serta cabaran dunia politik semasa yang semakin hebat sejak kebelakangan ini.

Begitu juga dengan pelantikan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Barat harus dimanfaatkan.

Muktamar juga meluluskan enam lagi usul  tanpa bahas, antaranya mewujudkan akta mengawal tindakan provokasi biadab terhadap agama, dan membentuk Jawatankuasa Khas Pas Pusat untuk memantau tugas Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu.

(FOTO FB PAS)

Related posts

Leave a Comment