Rajapaksa kembali ke Sri Lanka

COLOMBO: Selepas tujuh minggu dalam ‘pelarian’ bekas Presiden Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa, kembali ke tanah air tengah malam tadi melalui penerbangan dari Bangkok, Thailand menerusi Singapura.

Beliau disambut Ahli Parlimen partinya dan meninggalkan lapangan terbang dengan kawalan ketat konvoi kenderaan askar bersenjata ke rumah milik kerajaan yang disediakan kepadanya sebagai bekas Presiden, di tengah ibu kota.

Pada 13 Julai lalu, Rajapaksa bersama isteri dan dua pengawal peribadi meninggalkan Sri Lankamenaiki pesawat tentera ke Maldives, sebelum menuju ke Singapura di mana beliau secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya.

Dua minggu selepas itu, beliau ke Thailand sebagai destinasi seterusnya.

Rajakpaksa tidak menghadapi kes mahkamah atau waran penahanan terhadapnya tetapi beliau pernah menghadapi tuduhan rasuah sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, ketika abangnya, Mahinda Rajapaksa, menjadi presiden.

Namun, ia ditarik balik apabila beliau dipilih sebagai presiden pada 2019 kerana diberi imuniti di bawah Perlembagaan.

April lalu, penunjuk perasaan mula berkhemah di luar pejabat Presiden di tengah Colombo sambil bersorak ‘Gota, balik rumah’ sebagai tuntutan supaya Rajapaksa berundur.

Sebelum meletak jawatan, abangnya berundur sebagai Perdana Menteri dan tiga lagi ahli keluarga rapatnya meletak jawatan sebagai anggota Kabinet.

Related posts

Leave a Comment