Korea Selatan mansuh ujian prapelapasan

SEOUL: Mulai Sabtu ini, Korea Selatan akan menamatkan peraturan ujian prapelepasan Covid-19, RT-PCR untuk pelancong yang tiba ke negara itu.

Mei lalu, Korea Selatan menarik balik kebanyakan sekatan berkaitan Covid-19 tetapi, mengekalkan beberapa langkah kawalan sempadan.

Ini termasuk menetapkan mana-mana pengembara masuk untuk mengemukakan keputusan ujian Covid-19 negatif yang diambil sebelum berlepas.

Jangkitan harian Covid-19 di negara itu berada pada sekitar 100,000 dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas mencapai lebih 180,000 pada pertengahan Ogos.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Ki-il dalam satu mesyuarat berkata, peraturan baharu itu dilaksana selepas jawatankuasa penasihat penyakit berjangkit negeri mengesyorkan kerajaan membatalkan ujian mandatori RT-PCR kepada pengembara.

Ketika ini, pengembara yang masuk perlu menunjukkan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam selepas ujian RT-PCR mereka atau dalam tempoh 24 jam selepas ujian antigen pantas sebelum memasuki negara itu.

Ki-iL berkata, pelancong bagaimanapun masih perlu mengambil ujian PCR dalam tempoh 24 jam pertama sebaik ketibaan mereka di Korea Selatan, langkah yang dilaksana untuk menghalang penyebaran sebarang varian dari luar negara.

Kerajaan juga merancang untuk memperkenalkan vaksin Covid-19 yang berkesan untuk varian BA.5 Omicron.

Mereka yang berumur 60 tahun ke atas, atau dengan tahap kesihatan rendah, akan diberi keutamaan untuk diinokulasi.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) memaklumkan setakat hari ini, Korea Selatan melaporkan 103,961 jangkitan baharu Covid-19, termasuk 458 kes dari luar negara, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 23,246,398.

Jumlah kes harian terkini menurun berbanding 115,638 kes semalam.

Related posts

Leave a Comment