Kes harian turun, tiada kematian baharu

PUTRAJAYA 26 Dis. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam terus menunjukkan penurunan dengan merekodkan 609 kes termasuk dua kes import berbanding 766 kelmarin dan 902 pada Jumaat.

Menurut data portal KKMNOW, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 5,023,519 iaitu 4,985,014 kes termpatan dan 38,505 kes import.

Berdasarkan data sama, tiada kematian baharu direkodkan semalam dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kekal 36,831 termasuk 7,849 kes yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, sebanyak 13,997 kes aktif dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 13,229 kes atau 94.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 725 pesakit atau 5.2 peratus mendapat rawatan di hospital, di mana 43 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 19 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (abp) dan 24 tidak memerlukan abp.

Jumlah kes sembuh yang direkodkan semalam turut meningkat dengan pertambahan 737 lagi pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,972,691 pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment