Ucapan selamat dari Kedutaan AS

KUALA LUMPUR – ‘Salam Sejahtera ! Saya Brian McFeeters, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Bagi pihak rakyat Amerika Syarikat, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 kepada rakyat Malaysia”

Itu permulaan ucapan selamat dalam bahasa Melayu diplomat AS di Malaysia itu yang boleh diikuti melalui video singkat di Facebook Kedutaan AS hari ini.

Dalam ucapannya, yang turut memaparkan gambar-gambar hubungan Malaysia-AS, beliau berharap, hubungan persahabatan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akan terus kekal dan kukuh seterusnya ditingkatkan dalam mencapai kemajuan ke arah matlamat bersama iaitu Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Beliau berkata sepanjang tempoh 65 tahun lalu kedua-dua negara membina perkongsian yang kukuh, berakar umbi hingga membabitkan hubungan rakyat dengan rakyat, ekonomi, kesihatan dan keselamatan.

“Dan hari ini, hubungan antara kedua-dua negara kita lebih kukuh berbanding sebelum ini dan akan terus mendalam dan berkembang,” katanya.

Beliau turut menyatakan tahun ini, AS dan Malaysia akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-65.

Diplomat itu mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan Selamat Hari Merdeka.

Related posts

Leave a Comment