Keluarga Malaysia rai Hari Kebangsaan 2022

KUALA LUMPUR 31 Ogos –  Dua tahun tanpa perbarisan sempena hari ulang tahun kemerdekaan akibat pandemik Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan 2022 tahun ini kembali diraikan di Dataran Merdeka.

Dilaporkan lebih 50,000 keluarga Malaysia sejak awal pagi berada di Dataran Merdeka, tapak bersejarah yang menjadi saksi pengibaran Jalur Gemilang buat pertama kali pada 31 Ogos 1957.

Pada kali ini, lebih 20,000 peserta terlibat dalam acara persembahan dan perarakan, 76 haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai agensi.

Acara hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Muhaini Zainal Abidin sekitar pukul 7.45 pagi.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja sekitar pukul 8 pagi.

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil.

Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diikuti lagu tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, yang didendangkan hadirin bersama barisan artis tanah air.

Ia adalah julung kali nyanyian lagu Negaraku disampaikan oleh 12 artis tempatan semasa upacara menaikkan jalur gemilang diiringi 65 pemuzik Orkestra RTM pimpinan Pengarah Muzik RTM, Mokhzani Ismail.

Antara kontinjen yang menarik perhatian adalah kontinjen jurumasak berbaju putih, berseluar hitam lengkap topi tinggi atau toque yang turut berkawad bersama barisan wira negara.

Julung kali dilihat menyertai acara sedemikian, ia mungkin mencetuskan tanda tanya segelintir penonton di Dataran Merdeka mengapa kontinjen wira tidak didendang melibatkan lebih 40 cef atau jurumasak daripada Persatuan Jurumasak Malaysia itu turut melakukan lintas hormat.

Hakikatnya, mereka adalah antara kumpulan yang memainkan peranan penting sebagai penyedia makanan sedia di hospital ketika kapasiti wad hospital dipenuhi pesakit Covid-19 semasa wabak tersebut mula ‘menyerang’ negara pada awal 2020.

Ketika melintasi di hadapan Pentas Diraja, kontinjen cef turut menarik perhatian Raja Permaisuri Agong yang berdiri, ceria sambil melambaikan tangan kepada kontinjen ini.

Begitu juga kontinjen barisan hadapan Covid-19 yang mendapat sorakan gemuruh ketika melakukan lintas hormat di hadapan pentas orang kenamaan.

Kontinjen terdiri 84 anggota Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Related posts

Leave a Comment