Dr Latiff akhirnya lapor polis

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali membuat penafian, akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas),  Dr Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengaitkannya dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Melalui hantaran di Facebook hari ini, laporan itu dibuat oleh pegawainya malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ahli Parlimen Mersing itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah dan tohmahan dicipta untuk merosakkan nama baiknya bagi tujuan politik.

“Satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik saya.

“Saya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat.

Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu,” katanya yang turut memuat naik gambar laporan polis dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Dr Abdul Latiff juga berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mendakwa Rafizi serta pihak-pihak yang bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

Sebelum ini, laporan audit forensik LCS, antara lain menyatakan syarikat pembekal peralatan LCS adalah isteri kepada Dr Abd Latiff, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 2008 hingga 2013.

Awal minggu lalu, Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff berpandukan siasatan dalaman skandal itu dan semakan susulan dilakukannya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, siasatan dalaman LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

Dr Abd Latiff dalam reaksi balasnya menyifatkan Rafizi cuba mengelirukan orang ramai apabila terus mengaitkannya dengan isu projek LCS.

Katanya lagi, tindakan itu dapat dilihat melalui laporan audit yang masih di peringkat draf, sedangkan laporan audit didakwanya laporan ‘sebenar’ yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya.

Related posts

Leave a Comment