Khabar gembira bagi penjawat awam

PUTRAJAYA 30 Ogos – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk penjawat awam, termasuk tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK).

Beliau berkata, KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan membabitkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya

Ismail Sabri juga mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

“Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam secara fizikal di sini serta ribuan lagi mengikutinya secara dalam talian.

MAPPA adalah acara tahunan bagi mendengar amanat daripada perdana menteri kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Ismail Sabri pada perhimpunan itu turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai semasa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan mengenai perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mentua, bapa kandung dan bapa mentua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang membabitkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

“Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment