Thailand catat 369 kes baharu

BANGKOK 18 Jan. – Thailand mencatatkan sejumlah 369 kes baharu Covid-19 dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara itu setakat ini 12,423 kes dengan 70 kematian. 

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 357 adalah jangkitan tempatan, termasuk 275 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dengan 82 kes mempunyai kaitan dengan kunjungan ke kawasan berisiko tinggi, dan 12 kes import. 

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada 12,423 kes yang dilaporkan, 10,134 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 3,982 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dan 2,289 mereka yang kembali dari luar negara. 

Setakat ini, sejumlah 3,147 pesakit masih dirawat di hospital.

Sementara itu, Thailand meningkatkan pengesanan kes aktif di wilayah yang diletakkan di bawah kawalan tinggi di negara itu bagi menghentikan penularan Covid-19 dalam komuniti. 

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) telah memperluaskan langkah pengesanan kes aktif bagi Covid-19 di Bangkok dan 27 wilayah yang merekodkan lebih 50 kes dalam penularan terkini. 

Pihak berkuasa yang berkaitan akan meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan darat selepas timbul kebimbangan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara jiran termasuk Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri juga menggesa gabenor wilayah di sepanjang sempadan meningkatkan pengawasan bagi mencegah kemasukan pekerja migran secara haram.  

Related posts

Leave a Comment