“Semangat kita bukan kerana duit”

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Gerakan Tanah Air (GTA) mempunyai “plan B” jika ada yang menghalang untuk gerakan itu bertanding pada Pilihan Raya Umum nanti, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang tidak menyatakan plan B itu merujuk isu kelulusan pendaftaran Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Justeru Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengajak orang Melayu memberi sokongan kepada GTA yang akan menurunkan calon-calonnya yang terdiri daripada empat parti – Putra, Iman, Berjasa, Pejuang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, Pejuang yang diterajuinya mempunyai matlamat untuk menjadi tonggak kepada suatu gerakan orang Melayu.

“Saya percaya kita akan berjaya sebab kita berjuang untuk negara, bangsa dan agama kita. Semangat kita tetap dan bukan kerana duit. Pihak sebelah satu lagi bergantung kepada duit.

“Namun, kerana “orang itu” ada di dalam (penjara), maka susah sikitlah nak bagi duit. Namun, akan cubalah,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Amal Putra Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad  dan Tun Dr Siti Hasmah Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-65 di Ampang malam tadi.

Hadir sama Presiden Putra Datuk Dr Ibrahim Ali dan Timbalan Presiden Tan Sri Khalid Yunus serta pemimpin parti politik yang bersama GTA.

GTA katanya seperti gerakan lain mempunyai cita-cita besar untuk menang dan akan memberi perhatian untuk menyusun semula pentadbiran kerajaan dan mengnepikan kleptokrat UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, UMNO pada masa sekarang hanya berjuang untuk wang dan jawatan Perdana Menteri, yang jauh berbeza dengan perjuangan UMNO dahulu yang lebih mengutamakan bangsa, negara dan agama.

“UMNO dahulu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. UMNO yang ada sekarang ini berjuang untuk duit, untuk nak jadi Perdana Menteri, berjuang untuk menipu. Itulah hasrat mereka dan kita perlu lawan mereka sehingga kita menang,” katanya.

Dr. Mahathir dalam pada itu berkata, sebuah parti boleh menang pilihan raya dengan  lebih 50 peratus kerusi Dewan Rakyat jika hanya dua parti sahaja yang bertanding.

“Maknanya, satu parti akan menang, satu parti akan kalah. Di mana-mana kita lihat, negara demokratik yang berjaya , mereka cuma tubuh dua buah parti sahaja.

Kita tahu keadaan di United Kingdom umpamanya ada Parti Konservatif dan ada Parti Buruh . Di Amerika Syarikat ada Parti Demokrat dan Republikan.

“Tetapi, di Malaysia ini, apabila mereka nampak boleh dapat wang dalam politik, mereka menubuhkan parti kerana hasrat mereka bukan untuk berkhidmat untuk bangsa, negara dan agama, tetapi berkhidmat untuk duit,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment