Kekuatan gabungan PN mencukupi

KUALA TERENGGANU 29 Ogos – Kekuatan empat parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) – Bersatu, Pas, Gerakan dan Star sudah mencukupi dalam usaha untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris, berkata PN juga tidak  bergantung sepenuhnya kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menentang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau menjelaskan, saranan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin agar semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang untuk membuka semula pintu rundingan, hanya untuk mencari kesepakatan bagi mengelak BN kembali berkuasa serta mengulangi amalan didakwa salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran negara.

“Jika cadangan Muhyiddin itu dipersetujui PH, sudah tentu ada syarat lain akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Bersatu negeri, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin pada sidang media selepas Konvensyen PN 2022 di Serdang, Sabtu lalu, berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama pada PRU-15 ialah BN.

Menjelaskan lanjut kepada pemberita hari ini, Muhyiddin berkata, pandangan itu dibuat demi memastikan masa depan negara yang lebih selamat, selain mengelakkan negara daripada terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa didakwa membabitkan kerajaan BN sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini pula dilaporkan berkata PH kekal dengan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU-15.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, menganggap Rafizi sebagai ‘buta sejarah’ bahawa kerajaan PH yang memenangi PRU-14 dan menerajui kepemimpinan negara selama 22 bulan adalah hasil gabungan dengan parti lain, termasuk Bersatu.

“Rafizi bukannya pemimpin sesuai untuk mengeluarkan kenyataan itu… apa jawatan dia dalam PH? Pemimpin paling tepat untuk mengeluarkan kenyataan ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Rafizi perlu sedar, PKR dan PH tidak mempunyai kekuatan apabila tiada satu pun kerusi dimenangi parti itu walaupun meletakkan calon di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Berhubung kenyataan Rafizi bahawa parti itu hanya akan memfokus dan mencari pemimpin yang jujur serta cekap untuk mentadbir negara, Razali yang juga Ketua Bahagian Bersatu Marang mencabar bekas Ahli Parlimen Pandan itu supaya mendedahkan siapa pemimpin dalam PH dan PKR yang dimaksudkan itu.

Related posts

Leave a Comment