PM Australia mengaku kalah

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengakui kekalahan kepada calon pembangkang, Anthony Albanese, dari Parti Buruh walaupun proses pengiraan undi selepas pilihan raya umum hari ini belum tamat.

“Malam ini saya sudah bercakap dengan pemimpin pembangkang dan perdana menteri baru, Anthony Albanese, serta mengucapkan tahniah atas kemenangannya,” katanya dalam ucapan di televisyen.

Beliau, yang mengambil alih pentadbiran Australia pada 2018 selepas beberapa krisis kepemimpinan , turut memaklumkan akan melepaskan jawatan ketua parti Liberal, sekali gus menamatkan pentadbiran selama lapan tahun enam bulan menerusi kerajaan campuran.

Pengundian di kebanyakan negeri di Australia ditutup hari ini dengan tinjauan pendapat sejak awal lagi menunjukkan, Parti Buruh, mendahului gabungan Konservatif pimpinan Morrison.

Proses pengiraan kini sedang berlangsung di beberapa negeri, namun proses pengundian masih berjalan di barat Australia sehingga pukul 10 malam.

Albanese, 59, yang menerajui Parti Buruh sebelum ini merayu kepada pengundi supaya memberi peluang kepada partinya untuk mentadbir negara dan menolak kerajaan diterajui Morrison.

Sebanyak 151 kerusi Parlimen dipertandingkan, dan 76 diperlukan sebagai majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Pada pilihan raya sebelum ini, gabungan konservatif mendapat 76 kerusi manakala Parti Buruh hanya memperoleh 68 dengan baki tujuh lagi dimenangi parti minoriti dan calon Bebas.

Sebanyak 76 kerusi Senat turut dipertandingkan, masing-masing 12 membabitkan enam negeri dan masing-masing dua di dua wilayah.

Pilihan raya umum ini akan menentukan siapa menguasai Parlimen, Senat dan siapa akan berpindah ke ‘Lodge’, kediaman rasmi perdana menteri.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Australia, lebih tujuh juta orang melaksanakan pengundian awal iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Mengundi adalah wajib di Australia dengan denda AUD$20 (RM62) dikenakan jika seseorang gagal membuang undi, namun mendorong pengundi Australia menunaikan tanggungjawab tidak menjadi masalah besar.

Ini kerana setiap pusat mengundi dijadikan umpama tapak pesta dengan geraiq menyediakan makanan, daging panggang dan yang paling terkenal, hidangan dinamakan ‘sosej demokrasi’

Related posts

Leave a Comment