Larangan tukar parti kuat kuasa September

KUCHING 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dijangka berkuat kuasa pertengahan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen),  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan sedang menunggu perkenan baginda.

Beliau yakin RUU berkenaan akan dikuatkuasakan pada minggu kedua September ini.

“Jika ada perkara yang perlu diperjelaskan, Tuanku akan memanggil Peguam Negara ( Idrus Harun) untuk memberi penjelasan lanjut mengenai RUU itu,” katanya kepada pemberita pada Program Kenduri Rakyat di Kampung Bako Hilir, di sini, hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ia diluluskan dengan undi majoriti selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang, tanpa disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.

Wan Junaidi berkata, proses menguatkuasakan RUU itu membabitkan dua peringkat dengan yang pertama adalah bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong di mana ia telah dilaksanakan.

“Selepas itu, RUU berkenaan akan dikembalikan kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat saya sebelum kita memohon semula kepada Tuanku untuk ia dikuatkuasakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment