Rakyat kecewa jika Najib bebas

IPOH 28 Ogos – Rakyat akan kecewa sekiranya bekas Perdana Menteri, Najib Razak dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah, kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pembebasan bekas Perdana Menteri itu bukanlah perkara mustahil kerana masih mempunyai peluang melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa saja keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata banyak bukti telah dikemukakan di mahkamah sepanjang empat tahun ini yang akhirnya membuktikan Najib bersalah.

“Mahkamah buat keputusan selepas mendengar kes selama empat tahun, bukan satu mahkamah, tetapi tiga mahkamah dan sembilan hakim. Mereka buat keputusan berasaskan bukti-bukti jelas yang ditunjukkan di mahkamah.

“Tetapi yang dijawab (Najib), semua ini tidak betul, semua ini bohong, (jika begitu), kita tak payah ada mahkamah,” katanya menambah, ketiga-tiga mahkamah memberi pendapat yang sama, tetapi Najib tidak mengiktiraf keputusan mereka.

“Kalau ini menganiaya dia, kita tak payah ada mahkamahlah, sampai empat tahun bicara, tiga mahkamah, sembilan hakim, pendapat tiada satu pun yang berlainan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dilaporkan berkata Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan mengurangkan hukuman bagi segala kesalahan dibicara dan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Katanya, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri perlu membabitkan Peguam Negara, Ketua Menteri negeri (dalam kes Najib adalah Menteri Wilayah Persekutuan) dan tidak lebih daripada tiga anggota lain yang perlu dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, mengikut Perkara 42 (9), Lembaga Pengampunan perlu menimbangkan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara itu.

“Sekiranya Najib memohon pengampunan diraja, maka ia akan diproses mengikut peraturan dan dibentangkan Lembaga Pengampunan. Jadi, masih terdapat saluran untuk Najib mendapat keampunan atau dikurangkan hukuman,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau berkata, seseorang yang sudah disabitkan dengan hukuman, biasanya akan menjalani dua pertiga daripada hukuman dijatuhkan terhadapnya, manakala baki satu pertiga akan mendapat pengurangan secara automatik jika berkelakuan baik.

Abu Talib sebelum ini adalah Timbalan Pendakwa Raya ketika bekas Menteri Besar Harun Idris disabitkan atas kesalahan rasuah pada 1977 dan kemudian menjadi Peguam Negara ketika bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Mokhtar Hashim, disabitkan membunuh Mohamad Taha Talib iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada 1983.

Harun mendapat pengampunan diraja pada 1982, manakala Mokhtar dibebaskan daripada hukuman itu pada 1991.

Related posts

Leave a Comment