Muhyiddin calon PM PN

SERDANG 27 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi PN,  Dominic Law yang juga Presiden Gerakan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu akan tetap mendapat sokongan kesemua parti dalam gabungan tersebut sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.

Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

“Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic ketika berucap sewaktu Konvensyen PN 2022, serta ulang tahun kedua penubuhan gabungan tersebut, di sini.

Bagaimanapun Dominic mengakui, usaha untuk memenangi PRU15 bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan dinamika politik yang berbeza pada masa kini.

“Untuk mencapai impian ini PN perlu mendapatkan mandat dan sokongan undi daripada kesemua rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.

Related posts

Leave a Comment