KOTA KINABALU 9 Nov. – PKR mengumumkan 10 calon termasuk anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah pada 29 November ini.
Bekas Pengerusi PKR Sabah Christina Liew yang sebelum ini mewakili kerusi DUN Api-Api digugurkan daripada senarai calon PKR
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan senarai calon PKR berkata Datuk Yamani Hafez Musa yang juga bekas Ahli Parlimen Sipitang, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.
Penyandang kerusi DUN Inanam, Peto Galim dikekalkan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu manakala bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, untuk kerusi DUN Petagas.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee, pula dinamakan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Api-Api
Bekas ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Jamawi Jaafar serta Datuk George Hiew, masing-masing dinamakan sebagai calon kerusi DUN Melalap dan Karamunting.
Jamawi adalah bekas Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, manakala Hiew pula penyandang kerusi DUN Sri Tanjong.
Muka baharu yang juga bekas Ketua Setiausaha di beberapa kementerian Persekutuan, Datuk Ruji Ubi, dipilih bertanding di kerusi DUN Merotai.
Selain itu bekas guru, Rufinah Pengeran, dinamakan sebagai calon kerusi DUN Tulid; Abdul Said Pimping (Gum-Gum); dan Romansa Lamin (Segama).
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata gabungan parti itu akan mempertaruhkan 23 calon untuk bertanding pada pilihan raya itu.
Setakat ini, DAP sudahpun mengumumkan bakal bertanding lapan kerusi manakala Amanah akan bersaing di kerusi DUN Sulabayan manakala PKR bertanding di 10 kerusi.
Sebuah lagi parti gabungan PH adalah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick yang pada Sabtu lalu mengumumkan peletakan jawatan anggota Kabinet.
Berucap sebelum mengumumkan calon PKR untuk PRN17 Sabah, di sini, malam ini, Anwar menegaskan PKR bertanggungjawab mempertahankan masa depan rakyat.
“Kita kena ingat, semua orang ada kelemahan masing-masing. Namun, kita mengorak langkah baharu. We want to build a new Sabah. A Sabah that is truly independent. (Kita mahu membina Sabah yang baharu. Sabah yang benar-benar merdeka).
Kita akan menggunakan sumber kita untuk menghentikan mismanagement (salah urus), penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.
Berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perdana Menteri berkata, perkembangan perkara itu tidak berlaku dalam masa semalaman dan perbincangan diteruskan.
Nnnn
