Buka semula pintu rundingan – PN

SERDANG 27 Ogos – Di sebalik keyakinan Muhyiddin Yassin bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pengerusi PN itu meminta parti pembangkang lain membuka semula pintu rundingan.

Katanya, rundingan pembangkang dengan PN itu perlu jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

“Selepas PRN Johor, ada beberapa pihak daripada parti lain kata mereka nak berjumpa. Tapi mungkin ketika itu mereka rasa PRU masih jauh lagi.

“Tapi kalau sekarang mereka fikir PRU sudah dekat, apakah mereka akan datang balik, nak bincang balik? Kita terbuka sebab kita tahu musuh utama kita adalah BN kerana kebobrokan BN, salah guna kuasa, rasuah tanpa kesudahan tidak baik untuk negara.

“Jika matlamat kita adalah untuk elak negara jatuh dalam keadaan lebih buruk, pimpinan parti lain harus fikirlah bagaimana nak elak perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas selesai Konvensyen PN 2022, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PN ada menjalankan rundingan dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerjasama dalam PRU-15.

Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, dalam ucapan penggulungannya menggesa gabungan itu memilih untuk bekerjasama dengan BN atau Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kejayaan dalam PRU-15.

Muhyiddin mengakui, formula rundingan satu lawan satu bukan perkara yang mudah untuk direalisasikan, namun PN sedia berkompromi dalam perkara tertentu jika itu adalah formula terbaik untuk menumpaskan BN.

Bagaimanapun, ditanya sama ada ia bermakna PN tidak akan bekerjasama dengan BN dalam PRU-15, Muhyiddin enggan menafikan atau mengakui perkara itu berikutan situasi politik negara yang dinamik.

“Susah nak kata, saya tak kata tolak atau alu-alukan (kerjasama dengan BN) sebab dalam keadaan tidak menentu ketika ini, serta situasi dinamik, pergolakan perpecahan dalam UMNO dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kesediaan PN bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin berkata, apa juga kemungkinan boleh berlaku.

“Ya, apa-apa pun kemungkinan. Dulu, saya sudah pergi berjumpa Tun (Dr Mahathir). Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) datang ke tempat saya selalu. Namun, saya kurang pasti sama ada mereka ada fikir hal yang sama atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment