Rafizi ‘Detektif Conan’ PKR

SHAH ALAM 27 Ogos – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mengakui pendedahan isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS), dibuat bukan atas dasar politik semata-mata, sebaliknya kerana hobi dan minatnya untuk menjadi seperti Detektif Conan.

Pengarah Pilihan Raya PKR itu berkata beliau sudah mengetahui isu LCS sejak lima bulan lalu dan mengkajinya selepas itu, sebelum didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), awal bulan ini.

“Saya pilih isu ini bukan semata-mata untuk politik. Ia juga hobi saya kerana saya sebenarnya suka (jadi) macam Detektif Conan,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 di sini, hari ini.

Detektif Conan adalah manga dan anime genre detektif oleh Gosho Aoyama yang mengisahkan pengembaraan Shinichi Kudo, seorang detektif muda yang telah, secara tidak sengaja, berubah menjadi kanak-kanak selepas mengalami keracunan.

Rafizi menjangkakan isu LCS akan kekal sebagai isu besar sehingga hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana dakwanya masih banyak lagi ‘sampah’ yang belum keluar melalui pendedahan isu berkenaan.

“Saya rasa, jika PRU diadakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, isu LCS ini pun tidak habis lagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment