PN pilih mana satu BN atau PH

SERDANG 27 Ogos – UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH)? Mana satu jadi pilihan Perikatan Nasional ( PN), untuk memastikan kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) j

Perikatan Nasional (PN) perlu memilih sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika mahu kembali ke Putrajaya.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan itu adalah pilihan rasional memandangkan strategi satu lawan satu dilihat sebagai ramuan terbaik untuk PN menang dan membentuk kerajaan dalam PRU-15.

Ia terbukti berdasarkan keputusan dua pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini, yang menyaksikan PN jauh ketinggalan sekiranya berlaku pertembungan selain satu lawan satu.

Justeru, PN katanya wajar memilih mengadakan rundingan dengan UMNO dan BN, dengan syarat wujud perubahan dalam UMNO.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas, bagaimanapun tidak memperincikan perubahan dimaksudkan.

“Ramuan paling baik dalam PRU-15 adalah satu lawan satu. Kita bimbang kalau masih ulangi pertembungan tiga penjuru atau lebih, kita tidak mampu mara ke Putrajaya dengan baik.

“Rundingan perlu dilakukan. Pimpinan tentunya melihat antara PH yang memerintah dengan begitu bahaya dasarnya atau BN yang sudah ada liabilitinya, mana satu yang boleh kita baiki dan dijadikan kawan untuk kita mara ke Putrajaya.

“Andainya BN dan UMNO ada sedikit perubahan dalam kalangan mereka, saya fikir rundingan perlu dibuat supaya tragedi 2018 tidak berulang,” katanya dalam ucapan penggulungan di Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini.

Ahmad Fadhli menegaskan, PN sudah menguji strategi pertembungan selain satu lawan satu dalam PRN Melaka dan Johor, namun kedua-duanya menyaksikan PN gagal, sekali gus memerlukan gabungan itu menggunakan strategi baharu.

“Lawan kita UMNO dan BN berada dalam situasi yang sangat lemah, begitu juga PH. Rakyat yang rasional akan memilih PN sekali lagi.

“Bagaimanapun mesti kena dengan caranya kerana kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang dengan mengharapkan keputusan berbeza.

“Kita lakukan ramuan sama di Melaka, kita gagal. Ramuan yang sama di Johor, kita gagal. Adakah ramuan sama kita nak ulang dan kita akan terus gagal?” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli mengulangi gesaan beberapa perwakilan dalam konvensyen itu supaya PN mengangkat sebanyak mungkin golongan muda lelaki dan wanita sebagai calon gabungan itu dalam PRU-15.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa PN segera membentangkan manifesto anak muda bagi memikat anak muda untuk menyokong gabungan itu dalam PRU-15, dengan mengetengahkan kebimbangan dan isu tumpuan golongan berkenaan.

“Anak muda mahu jaminan pengajian yang tidak terbeban hutang, rumah pertama, jaminan kerjaya, skim pembelian kenderaan dan jaminan masa depan mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment