Hilang kelayakan selepas 14 hari

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Bekas Perdana Menteri,  Najib Razak akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau permohonan pengampunan diraja dibuat dalam tempoh berkenaan.

Kedudukan itu selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Jika ini berlaku, pilihan raya kecil (PRK) tidak perlu diadakan kerana kekosongan berkenaan berlaku kurang dua tahun sebelum tempoh Parlimen perlu dibubarkan.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Sementara itu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, berkata ketika ini

Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.

“Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.

“Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukkan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment