Dari Istana Kehakiman ke penjara

PUTRAJAYA 24 Ogos – Najib Razak menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir bekas menteri kewangan itu  untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang semalam menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam dari Istana Kehakiman diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.

Istana Kehakiman mula menjadi tumpuan orang ramai bagi mengetahui nasib Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu dengan perkarangan mahkamah dibanjiri lebih 300 penyokong termasuk Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seawal 7 pagi, 10 bas yang membawa penyokong dari Pekan, Pahang terdiri daripada ahli UMNO dan ketua cawangan UMNO Pahang serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pahang tiba di kawasan itu.

Isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak mereka, Mohd Nizar, Nooryana Najwa dan Norashman serta Mohd Nazifuddin turut hadir semasa prosiding itu.

Najib yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira 3.10 petang ketika prosiding ditangguhkan sementara, mendakwa beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya dan beliau sempat meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir bekas menteri kewangan itu  untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International.

Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Beliau sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil kegiatan haram dan kesemua kes itu dibicarakan bersama.

Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Najib menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB,  pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.

Pada 8 Dis 2021, Najib, 69, gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Related posts

Leave a Comment