Segerakan rundingan fasa kedua

KAHERAH – Hamas menggesa supaya rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza dimulakan dengan serta merta manakala Israel menuntut pembebasan segera baki 59 tebusan.

Dalam kenyataannya Hamas berkata, delegasinya sudah mengadakan perbincangan dengan ketua agensi perisikan umum Mesir, Hassan Mahmoud Rashad mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tebusan dengan tahanan.

Semalam, Israel dan Hamas memberi isyarat bahawa mereka bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam rundingan gencatan senjata, ketika pengantara berusaha memanjangkan gencatan senjata selama 42 hari yang bermula Januari lalu.

Hamas menyatakan terdapat ‘petanda positif’ untuk memulakan rundingan fasa kedua gencatan senjata tetapi tidak memberi butiran lanjut manakala Israel berkata akan menghantar delegasi ke Doha, Qatar bagi meneruskan rundingan selepas menerima jemputan daripada pengantara.

Delegasi Hamas sedang mengadakan rundingan gencatan senjata di Kaherah dengan pengantara Mesir yang memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam perbincangan bersama pegawai dari Qatar.

Matlamat mereka adalah untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perjanjian, yang boleh membuka jalan untuk menamatkan perang.

Jurucakap Hamas, Abdel-Latif Al-Qanoua, menegaskan kesediaan mereka untuk terbabit dalam rundingan fasa kedua adalah dengan cara yang memenuhi tuntutan rakyat Palestin.

“Kami menyeru usaha lebih intensif untuk membantu Semenanjung Gaza dan menamatkan sekatan ke atas rakyat kami yang menderita,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment