Khairy kunjungi industri kanabis, ketum

BANGKOK 22 Ogos – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tiba di sini petang ini bagi memulakan lawatan kerja bilateral kesihatan sebelum menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi APEC pada Khamis ini.

Beliau dijadualkan melawat Pejabat Farmaseutikal Kerajaan esok untuk taklimat dasar kanabis termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan di Thailand.

Khairy juga dijangka bertemu pemain penting industri kanabis dan ketum di Thailand selain mengunjungi Siam Cannabis Land pada Rabu bagi melihat kaedah penanaman ‘indoor and outdoor’, rumah hijau dan bilik pengeringan.

Julai lalu, Menteri Kesihatan itu menyatakan bahawa satu rangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu akan diumumkan.

Lawatan bilateral ini penting untuk KKM meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta merangka strategi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya.

Thailand merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang memberi kelonggaran undang-undang dan membenarkan kanabis untuk digunakan bagi tujuan perubatan.

Lawatan bilateral kesihatan ini juga akan menjadi platform terbaik KKM untuk pendedahan dan penelitian berhubung kajian-kajian antarabangsa berkaitan kanabis/ketum termasuk hasil dapatan ujian-ujian klinikal kanabis untuk tujuan kesihatan.

Related posts

Leave a Comment