Saudi perlu sertai Perjanjian Abraham.

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menegaskan, perjanjian kerjasama tenaga nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi hanya akan diluluskan jika Riyadh mengiktiraf Israel menerusi penyertaannya dalam Perjanjian Abraham.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, perjanjian nuklear awam itu yang disifatkannya hanya untuk tujuan bukan ketenteraan dan tidak melibatkan pengayaan bahan nuklear, tertakluk kepada pendirian Arab Saudi.

Perjanjian Nuklear Awam (tiada aktiviti pengayaan uranium dibenarkan)…  hanya berkaitan penggunaan bukan ketenteraan… akan diluluskan, namun ia tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham,” katanya.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada syarat penyertaan dalam perjanjian itu dimasukkan secara rasmi dalam teks perjanjian nuklear yang belum didedahkan kepada umum atau sama ada Arab Saudi telah bersetuju dengan syarat berkenaan.

Arab Saudi juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Trump.

Dalam perkembangan sama, jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, Trump telah membangkitkan syarat tersebut kepada pemimpin Arab Saudi dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini.

“Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka tidak menyertai Perjanjian Abraham, maka perjanjian itu terbatal. Kami akan terus membincangkan perkara ini dengan rakan sejawat kami di Arab Saudi,” katanya.

Kenyataan Trump itu dibuat selepas beberapa pakar dan penggubal dasar menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian nuklear AS-Arab Saudi yang diumumkan pada Rabu berpotensi meningkatkan risiko percambahan senjata nuklear di rantau Asia Barat yang sememangnya tidak stabil.

Perjanjian Abraham mula diperkenalkan ketika penggal pertama Trump sebagai Presiden AS, apabila Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel, mencatat sejarah sebagai negara Arab pertama berbuat demikian dalam tempoh beberapa dekad.

Sejak itu, Sudan, Maghribi dan Kazakhstan turut menyertai perjanjian tersebut.

Arab Saudi sebelum ini menegaskan, negara itu tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. 

Related posts

Leave a Comment