Dua penjuru simpul mati peluang PH

ALOR SETAR 22 Ogos – Pas Kedah memberi sokongan penuh terhadap strategi satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), satu langkah bersifat kalkulatif bagi menyimpul mati peluang Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abdul Samat, berkata berdasarkan

keputusan PRU lalu, didapati gabungan jumlah undi calon Barisan Nasional (BN) dan Pas mampu menyaingi jumlah yang diperoleh oleh calon PH.

Beliau berkata, menerusi strategi ‘rahsia terbuka’ itu, PH dijangkakan boleh hilang sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang, termasuk Parlimen Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu di Kedah.

Bagaimanapun, katanya, untuk merealisasikan harapan itu, semua pihak perlu kembali ke meja rundingan dan semua parti yang berada dalam PN mahupun Muafakat Nasional (MN), termasuk parti komponen perlu berada di bawah satu kesepakatan bagi menghadapi PH.

Katanya, semua pihak wajar mempunyai tekad politik yang tinggi untuk keluar daripada garisan perpecahan supaya kebobrokan dasar pemerintahan 22 bulan PH pada PRU lalu tidak berulang lagi.

“Kita tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ apabila menyaksikan satu demi satu tali yang mengikat peraturan agama dirungkai oleh Kerajaan PH.

“Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dilencongkan dengan pandang sisi liberal sehingga soal maksiat individu dibingkaikan dengan ‘private sphere’.

“Begitu juga sokongan terhadap ICERD, Statute Rome adalah sebahagian daripada sisi gelap era pemerintahan PH tempoh hari yang perlu terus diingati dan dijadikan pengajaran,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu berpandangan jauh, malah meminggirkan suara sumbang yang cuba menggagalkan gagasan penyatuan ummah ini terutama atas kepentingan individu tertentu wajar dipinggirkan.

Katanya, rakyat Malaysia dari semua bangsa dan etnik perlu terus bersatu menolak kerakusan politik dan jajaran baharu PH.

Related posts

Leave a Comment