GOMBAK 19 Okt. – Tambang penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan transit kelas ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu bermula daripada RM125 di bawah mekanisme harga dinamik, dengan kadar pertengahan sekitar RM156 sehala.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Darwis Abdul Razak, berkata harga tiket boleh berubah mengikut waktu pembelian, permintaan dan musim puncak, manakala mekanisme intervensi turut tersedia sekiranya kadar tambang meningkat terlalu tinggi.
Katanya, pendekatan itu yang menyerupai amalan penetapan harga dalam industri penerbangan, membolehkan penumpang yang merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu perjalanan tertentu mendapatkan tambang lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan tiket.
ECRL turut menawarkan pilihan perkhidmatan transit dan ekspres bagi memenuhi keperluan penumpang, dengan kapasiti tren sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya dan 409 penumpang bagi konfigurasi yang menggabungkan kelas perniagaan serta ekonomi.
Darwis berkata demikan pada sidang media pengumuman kadar tambang ECRL di sini, hari ini.
Bagi laluan Gombak-Kota Bharu sejauh 523 kilometer pula, tambang ekspres bermula RM147 sehala, manakala tambang transit bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu dan Gombak-KotaSAS masing-masing bermula RM95 dan RM60.
Tambang ekspres bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu dan Gombak-KotaSAS pula masing-masing bermula RM110 dan RM68.
Sebanyak 50 peratus diskaun turut ditawarkan kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan, manakala pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula menikmati diskaun 40 peratus.
ECRL menyasarkan 1.4 juta penumpang pada tahun pertama operasi komersialnya pada 2027 dengan perkhidmatan itu tidak menerima subsidi tambang tiket ketika mula beroperasi pada Disember ini.
Darwis berkata, unjuran awal projek itu berdasarkan faktor muatan sekitar 60 peratus dengan sasaran lebih tinggi sekiranya permintaan penumpang menggalakkan.
Katanya, sasaran berkenaan menjadi sebahagian daripada perancangan awal bagi memastikan hasil perkhidmatan dapat menampung kos operasi, selain meneroka potensi pendapatan daripada perkhidmatan kargo.
Setakat ini tiada subsidi dan yang penting ialah sasaran faktor muatan sekitar 60 peratus tetapi jangkaan MRL ia mampu mencapai 90 peratus.
Menurutnya, MRL berharap hasil yang dijana sekurang-kurangnya dapat menampung kos operasi perkhidmatan itu, walaupun usaha mendapatkan pulangan kewangan daripada projek berkenaan dijangka mencabar.
Beliau berkata, potensi pendapatan ECRL tidak seharusnya dinilai berdasarkan perkhidmatan penumpang semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira peluang menjana hasil melalui pengangkutan kargo apabila lebih banyak syarikat menggunakan rangkaian rel berkenaan.
Katanya, pertumbuhan penggunaan perkhidmatan kargo berpotensi menyumbang kepada pendapatan syarikat pengendali, sekali gus membantu menyokong kos operasi dan penyelenggaraan ECRL dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, kemajuan keseluruhan projek ECRL mencapai 98.16 peratus setakat Oktober ini, manakala ujian penerimaan tapak dan ujian integrasi sistem selesai dilaksanakan sepenuhnya.
Selain itu, pengujian tren yang bermula pada 25 Ogos lalu merekodkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer, sementara ujian perjalanan tanpa penumpang dijadualkan bermula pada 23 Oktober ini sebelum operasi percubaan dilaksanakan sepanjang November.
(Foto FB ECRL)
Nnnnn
