Belum cukup kuat ke pejabat – Dr M

SEPANG 19 Okt. – Dr Mahathir Mohamad, mengakui dirinya masih belum cukup kuat untuk kembali bertugas seperti biasa, selepas tiga minggu pemergian isteri tercinta, Allahyarham Dr Hasmah Mohamad Ali.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam sehari dua ini, beliau sudah cuba kembali ke pejabat namun keupayaan dirinya masih belum mengizinkan.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataannya, Dr Mahathir mewakili seluruh ahli keluarganya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarham pada 28 September lalu.

“Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja.

Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.

Dr Mahathir turut memohon maaf sekiranya ada salam yang tidak sempat disambut, lambaian yang tidak berbalas atau ucapan takziah yang belum dijawab sepanjang tempoh berkenaan.

Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 100 tahun dan selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama dengan diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment