Pingat Daya Tahan Covid-19

SINGAPURA 21 Ogos – Satu anugerah yang dikenali Pingat Daya Tahan Covid-19 akan diperkenalkan bagi menghargai individu dan kumpulan yang terlibat secara langsung dalam memerangi pandemik itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau berkata, selain anugerah baharu bagi mengiktiraf pengorbanan dan semangat masyarakat, mereka yang memberi sumbangan luar biasa juga akan menerima anugerah sedia ada seperti Pingat Kepujian, Pingat Bakti Masyarakat dan Pingat Perkhidmatan Awam.

“Pingat-pingat itu akan mempunyai “catatan khas” bagi menunjukkan bahawa mereka “diiktiraf atas perkhidmatan memerangi Covid-19 – mungkin dua barisan merah di reben”, katanya dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio malam ini.

Senarai anugerah itu akan diumumkan pada akhir tahun, dengan majlis penyampaian diadakan tahun depan.

Lee menarik perhatian sebagai sebahagian daripada respons Singapura, ramai yang menggalas tanggungjawab melebihi tugas mereka, termasuk kakitangan jagaan kesihatan, pegawai awam, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan bukan pemerintah dan “ramai individu dari pelbagai latar belakang”.

Pada majlis itu Lee memberi beberapa contoh tiga individu pelbagai kaum yang tampil dan menghulurkan bantuan semasa pandemik.

Mereka adalah Alice Chua, seorang relawan di pusat vaksinasi yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Cina, sekali gus memudahkan komunikasi dan menenangkan hati warga emas yang menerima suntikan.

Ruku Pakirisamy, seorang penduduk di Yishun yang memasak dan mengagihkan makanan kepada jiran tetangga yang lebih tua dan takut untuk keluar rumah semasa pandemik.

Razali Puasa yang tinggal di Toa Payoh dan secara sukarela membantu mengelap dan membasmi kuman di sebuah taman permainan berdekatan blok tempat tinggalnya.

“Ditengah-tengah kegelapan pandemik, menerusi hati budi mereka, keberanian serta keprihatinan secara peribadi, semangat Singapura amat terserlah,” kata Lee.

Senarai anugerah itu akan diumumkan pada akhir tahun, dengan majlis penyampaian diadakan tahun depan.

Perdana Menteri sebelum itu memulakan ucapannya dengan menekankan bahawa Singapura sudah berusaha dengan gigih untuk melawan Covid-19, dan bagaimana usaha bersama berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Menurutnya, tahap keyakinan yang tinggi dalam masyarakat adalah kunci kejayaan Singapura di samping rakyat mempercayai pemerintah dan sabar terhadap beberapa langkah pelonggaran dan sekatan yang diperketat dan menyusahkan.

Lee juga mengumumkan pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat di dalam dan luar bangunan berikutan situasi semakin stabil.

“Pelitup hanya diperlukan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan seperti klinik, hospital dan rumah jagaan. Walau bagaimanapun, jangan menanggalkan pelitup anda dengan serta-merta,” kata  Lee.

Katanya, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian berhubung Covid-19 akan mengeluarkan perincian mengenai perkara itu.

Related posts

Leave a Comment