PN Pahang mahu tanding semua kerusi

KUANTAN 21 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya, Saifuddin Abdullah.

Menurut Saifuddin, PN yakin boleh menang kerusi yang akan ditandingi, malah memiliki kekuatan tersendiri dan berpeluang cerah untuk menambah kerusi Parlimen atau DUN di negeri ini.

PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan bersama dua parti berpangkalan di Sabah, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Gabungan itu mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Indera Mahkota yang diwakili Saifuddin yang sebelum ini menang atas tiket PKR kemudian menyertai Bersatu manakala lapan kerusi DUN milik Pas.

Saifuddin berkata dua faktor dilihat dapat membantu gabungan berkenaan memenangi kerusi yang bakal ditandingi nanti.

“Dua faktor itu adalah hasil gabungan tiga parti (komponen PN di Semenanjung, Bersatu, Pas dan Gerakan) serta sokongan baik yang diterima di peringkat akar umbi.

“Pada PRU lalu, Bersatu dan Pas tidak bertanding sebagai satu gabungan, malah berlawan antara satu sama lain. Apabila bergabung, kemungkinan besar kita akan menambah jumlah kerusi.

“Oleh itu, PN Pahang berhasrat bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 DUN di Pahang,” katanya pada sidang media selepas Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Peluang Kedua Kehidupan Baharu, di sini hari ini.

Related posts

Leave a Comment