5 projek tebatan banjir RM4.7 bilion

SHAH ALAM 19 Ogos – Kerajaan berharap peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor dapat mengelakkan kejadian banjir buruk di Selangor berulang.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut disediakan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) termasuk lima projek tebatan banjir  dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.

“Usaha ini akan disegerakan bagi mengelak kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan program Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Negeri Selangor di sini petang ini.

Dalam kejadian banjir tahun lalu, sebanyak 45 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Selangor setakat 19 November.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di Selangor.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 14,329 buah rumah Selangor siap dibina sehingga Jun lalu di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Kata Perdana Menteri, ia selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah dan usaha kerajaan menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia, terutama kumpulan B40 dan M40.

Related posts

Leave a Comment