Rundingan tiga pihak positif

KYIV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan rundingan dengan Presiden Turkiye dan Ukraine semalam bagi membincangkan mengenai inisiatif mengakhiri konflik Ukraine dengan Russia.

Rundingan turut diadakan bagi menyelamatkan stesen jana kuasa nuklear terbesar di Eropah yang diserang sebelum ini.

Rundingan membabitkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Melalui hantaran di Facebooknya, Erdogan berkata, rundingan tiga pihak itu  menunjukkan perkembangan positif bagi menghidupkan semula rundingan damai dengan Russia yang berlaku di Istanbul pada Mac lalu.

“Secara peribadi, saya kekal percaya bahawa perang ini akan berakhir di meja rundingan, Zelenskiy dan Guterres juga mempunyai pendapat yang sama dalam hal ini,” katanya.

Masyarakat antarabangsa juga katanya harus mengambil lebih banyak tanggungjawab untuk menghidupkan semula proses diplomatik.

Erdogan yang sedih dengan kehilangan banyak nyawa dalam peperangan yang berlarutan selama hampir 6 bulan itu juga menyatakan sokongan terhadap integriti dan kedaulatan wilayah Ukraine.

Katanya sejak permulaan perang, Turkiye telah menghantar 98 trak bekalan bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan kecemasan rakyat Ukraine serta menjadi ‘tuan rumah’ buat sementara waktu kepada kira-kira 325,000 orang Ukraine.

Sementara itu Guterres berkata, beliau bimbang dengan keadaan di loji nuklear Zaporizhzhia dan menggesa peralatan dan kakitangan tentera di situ dikeluarkan.

Guterres mengulangi seruan supaya loji nuklear itu diisytiharkan zon bebas tentera.

“Kemudahan itu tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sebarang operasi ketenteraan.

“Sebaliknya, persetujuan amat diperlukan untuk mewujudkan semula infrastruktur awam Zaporizhzhia dan memastikan keselamatan kawasan itu,” katanya.

Zelenskiy, pula menyatakan persetujuan kemungkinan melaksanakan misi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ke loji itu.

“Russia harus dengan segera dan tanpa syarat menarik balik tenteranya dari wilayah loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia, serta menghentikan sebarang provokasi dan serangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment