BN sasar 20 kerusi Parlimen di Johor

JOHOR BAHRU 18 Ogos – Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk  memenangi 20 kerusi Parlimen di Johor daripada 26 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hasan, berkata sasaran itu perlu dipenuhi BN Johor bagi membolehkan ia menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan Kerajaan Pusat yang kukuh.

“Saya mahu Johor memberikan sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen untuk dijadikan penyumbang utama dalam usaha menubuhkan kerajaan BN di Pusat dan ini satu tugas yang berat,” katanya sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, kunjungannya ke Johor semalam bagi melihat tahap kesiapsiagaan BN Johor bagi menghadapi PRU-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, persiapan untuk menghadapi PRU-15 nanti perlu dilakukan dengan rapi serta terperinci bagi memastikan BN memperoleh kemenangan selesa.

“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seluruh keluarga BN turun membantu, namun pada PRU-15 nanti, negeri dan Parlimen perlu diuruskan sendiri pilihan raya itu.

“Itu sebabnya tahap kesiapsiagaan kita perlu rapi dan perlu lebih kuat serta mantap kerana tiada rakan dari seluruh negara datang membantu,” katanya.

Beliau berkata, Johor adalah negeri kesembilan mengadakan Mesyuarat Penyelarasan BN negeri serta pemukiman persiapan PRU-15.

Sebelum ini BN sudah selesai adakan mesyuarat dan pemukiman PRU-15 di lapan negeri bermula Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Hari ini dan esok di Johor, Ahad di Melaka, Perak (22 & 23 Ogos) serta Pahang (29 & 30 Ogos). Selepas itu BN akan ke Sabah dan akan adakan mesyuarat sama di empat zon di sana berikutan ia negeri yang besar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment