Gagasan hadapi GPS, PH Sarawak

KUCHING 18 Ogos –  Tiga parti pembangkang tempatan Sarawak membentuk pakatan Gagasan Rakyat Sarawak (Gagasan) bagi menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tiga parti terbabit iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) memeterai perjanjian bagi membentuk pakatan itu, hari ini.

Pengerusi Tetap PBDS, Dr John Brian Anthony, berkata pembentukan Gagasan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri antara tiga parti itu bagi menghadapi GPS seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Disember tahun lalu.

“Kami yakin dengan perpaduan (tiga parti terbabit) akan membentuk kekuatan kerana setiap parti mempunyai kemampuan tersendiri.

Pendekatan memanfaatkan kekuatan masing-masing akan mewujudkan kemampuan yang lebih baik,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk Gagasan di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Presiden PBDS, Bobby William; Presiden Aspirasi, Lina Soo dan Presiden Sedar, Othman Abdillah.

John Brian berkata, Gagasan menawarkan kerajaan alternatif yang lebih baik dengan dipandu oleh tadbir urus yang cekap.

Sementara itu, Othman berkata, Gagasan akan meletakkan calon di semua 31 kawasan Parlimen di Sarawak pada PRU-15.

Related posts

Leave a Comment