MELAKA 7 April – Kerajaan Negeri Melaka berhasrat menambah baik penganjuran Bazar Aidilfitri mulai tahun depan termasuk cadangan membuka satu kawasan di Banda Hilir bagi penganjuran bazar berpusat, sekali gus menjadi ikonik baharu tarikan pelancongan.
Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, berkata jajaran baharu yang dicadangkan akan meliputi Jalan Jonker sehingga ‘Pahlawan Walk’ yang menyediakan ruang niaga lebih besar dan menarik.
“Menerusi kaedah ini, bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah, Klebang dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan digabungkan di satu lokasi sebagai bazar terbesar di negeri ini.
“Kita bercadang tidak membuka bazar di tiga lokasi seperti sebelum ini, tetapi penganjuran bazar Aidilfitri digabungkan supaya penjanaan ekonomi di kawasan baharu itu lebih berkembang,” katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum, malam tadi.
Ab Rauf berkata, cadangan penganjuran bazar berpusat di kawasan tumpuan strategik juga secara tidak langsung akan membantu peniaga-peniaga dan juga kompleks beli-belah di kawasan berkenaan berkembang.
Beliau menegaskan, pihaknya sedang menilai kejayaan penganjuran bazar yang diadakan sebelum ini.
