GTA guna logo Tanah Air hadapi PRU

PUTRAJAYA 18 Ogos – Empat parti dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan satu logo yang dikenali sebagai Tanah Air pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi penajanya,  Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada minggu hadapan.

“Kita belum putuskan lagi (reka bentuk logo). Kita akan buat perancangan reka bentuk baharu dan saya ingat pada minggu depan akan putuskan.

Apabila ia telah diputuskan, dan kita telah mengisi semua jawatan dalam GTA, kita cadang untuk minta pendaftaran,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, pihaknya yakin pendaftaran gabungan tersebut akan diluluskan sebelum PRU15.

GTA, satu gagasan baharu disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan tuduhan bahawa penubuhan gagasan politik itu bakal memecah belahkan orang Melayu sebaliknya yakin GTA mampu membawa perjuangan Melayu dan bangsa.

Bagaimanapun gerakan itu mengakui tidak boleh menyatukan semua orang Melayu, khususnya mereka yang terpalit dengan kes jenayah.

“Tuduhan kita memecah-belahkan orang Melayu adalah tidak benar.

Kita akui kita tak boleh satukan orang Melayu yang ada tuduhan jenayah… curi duit. Itu tak ada (dalam GTA).

“GTA hanya dianggotai oleh mereka yang tak terlibat dengan jenayah, mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu, negara dan untuk agama Islam,” katanya.

Beliau berkata, melalui penubuhan GTA, pertembungan sesama calon Melayu pada pilihan raya akan datang dapat dielak.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, GTA akan menyokong mana-mana calon daripada empat parti tersebut yang dicalonkan dalam pilihan raya kelak.

“Jadi sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti poltik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri dan kali ini kita tidak berlawan sesama kita,” ujar Dr Mahathir.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Mohammed Mosin Abdul Razak.

Related posts

Leave a Comment