‘Itu bukan perjumpaan rasmi PN-PM’

PETALING JAYA 17 Ogos –  Pertemuan dua minggu lalu bukan perjumpaan rasmi delegasi Perikatan Nasional (PN). Itu pandangan Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rina Harun.

Beliau sependapat dengan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan pertemuan antara ketiga mereka itu, kira-kira dua minggu lalu, bukan perjumpaan rasmi.

Pertemuan itu membabitkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin dan Bendaharinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rina menegaskan, pertemuan itu sepatutnya berlangsung membabitkan wakil rasmi yang diputuskan PN iaitu Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan; Dr Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali.

“Saya kira sebenarnya perjumpaan kita (PN) dalam parti sudah memutuskan perjumpaan itu diwakili keempat-empat mereka yang telahpun disebut sebagai wakil rasmi.

Jadi, jika itu yang diputuskan dalam parti, saya kira itulah wakil rasmi parti (Bersatu) untuk berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangkan hal berkaitan PN dan Bersatu,” katanya pada sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Bagaimanapun, Rina menjelaskan pertemuan membabitkan menteri daripada kalangan menteri PN yang lain, tidak mewakili delegasi rasmi yang telah terlebih dahulu ditetapkan parti.

“Yang lain-lain itu kalau ada perjumpaan, mungkin sebab mereka adalah menteri. Takkanlah kalau saya (sebagai menteri) berjumpa dengan PM (Perdana Menteri) maka saya dikatakan mewakili parti kepada isu ini, sedangkan mandat diberi kepada mereka yang diputuskan PN sebagai wakil ramai,” katanya.

Kelmarin, Wan Saiful menyifatkan pertemuan Hamzah dan Ahmad Samsuri dengan Perdana Mwnteri kira-kira dua minggu lalu adalah makan tengahari biasa dan bukan perjumpaan rasmi delegasi PN.

Ismail Sabri pada 13 Ogos lalu dilaporkan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan bersama delegasi PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keempat-empat wakil rasmi PN itu hadir dalam pertemuan makan tengah hari berkenaan.

Related posts

Leave a Comment