Presiden Filipina diberi sambutan negara

KUALA LUMPUR 26 Julai – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama tiga hari, bermula semalam.

Ketibaan beliau bersama isteri, Louise Araneta-Marcos, pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.

Presiden Filipina itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Wardieburn, di sini.

Marcos bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam pokok melinjau (Gnetum Gnemon) di halaman istana, dengan disaksikan Louise Araneta-Marcos, Tunku Azizah, Anwar dan Dr Wan Azizah.

Related posts

Leave a Comment