Cadang Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan.

Beliau berkata, berdasarkan corak perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM), adalah wajar dan amat bertepatan untuk suruhanjaya khusus itu diwujudkan.

“Mestilah satu perkhidmatan yang sangat luar biasa bagi (sektor) yang memerlukan penubuhan suruhanjaya. Kalau tanya kepada KKM, ya kita memang perlukan (penubuhan suruhanjaya) supaya tidak tertakluk kepada dasar di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022, di sini hari ini.

Khairy berkata, keperluan untuk mewujudkan suruhanjaya itu membolehkan pengurusan lebih terancang khususnya bagi meningkatkan jumlah perjawatan dan elaun pekerja kementerian itu.

“Saya bagi contoh, jika hendak perjuangkan elaun tertentu dalam KKM, kita tertakluk kepada dasar umum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Corak kerja perkhidmatan kesihatan ini lain, (misalnya) jururawat bukan kerja waktu pejabat, lain waktu kerja mereka lain.

“Kalau saya kata nak hari ini ada Suruhanjaya Kesihatan, bimbang pula ia akan menjadi fokus (dalam Kertas Putih Kesihatan), tetapi ia boleh dibincangkan dalam kerangka kertas putih,” katanya.

Khairy turut memberitahu, KKM sudah memulakan sesi libat urus secara menyeluruh dengan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

“Proses libat urus dan perbincangan (mengenai dokumen ini) akan mengambil masa selama empat bulan, ia turut dibawa ke lapangan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Dalam sesi libat urus yang telah pun dimulakan, ia membabitkan peringkat negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) swasta,” katanya.

Khairy turut memaklumkan Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan turut ditubuhkan dan ia dipengerusikanbekas Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam dan Pengerusi AXIATA Group, Shahril Ridza Ridzuan.

Related posts

Leave a Comment