4,053 perjawatan tetap KKM lulus

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Sebanyak 4,053 permohonan membabitkan perjawatan tetap sebagai pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diluluskan hari ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, jumlah penambahan jawatan tetap itu adalah tertinggi pernah direkodkan sejak 2016.

“Kita membuat cadangan dan diterima Kabinet supaya penambahan jawatan tetap dimulakan pada tahun ini dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 8,672 permohonan.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,052 calon hadir untuk temu duga. Calon yang diluluskan tetap adalah seramai 3,215 untuk pegawai perubatan, 438 bagi pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi,” katanya selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022, di sini, hari ini.

Khairy berkata, sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun ditawarkan kepada pegawai kontrak sejak dasar pengambilan secara kontrak dimulakan enam tahun lalu.

“Kita akan tentukan dasar nanti selepas bincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sama ada mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula atau tidak pada tahun depan. Pandangan saya, eloklah untuk mereka dibenarkan berbuat demikian, namun kita akan berbincang dari segi peraturan dengan SPA,” katanya.

Mengulas kekecewaan pegawai perubatan yang gagal mendapat tempat, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan mereka mendapat laluan kerjaya, insentif dan peluang untuk menyambung latihan di peringkat kepakaran.

Related posts

Leave a Comment