Covid-19: Indonesia diminta terus waspada

JAKARTA 15 Ogos – Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19 (Satgas) meminta pemerintah dan rakyat Indonesia terus berwaspada terhadap penularan coronavirus itu selepas kadar jangkitan meningkat hampir dua kali ganda.

Stesen penyiaran CNN Indonesia melaporkan, Jurucakap Satgas, Wiku Adisasmito, berkata kadar jangkitan positif Covid-19 di Indonesia meningkat dengan ketara dalam tempoh lima minggu lalu daripada 5.12 peratus kepada 10.5 peratus.

“Jika dibandingkan dengan kemuncak penularan varian Omicron lalu, peningkatan hampir 17 peratus direkodkan dalam lima minggu. Sementara itu, pada kemuncak penularan Delta, naik sembilan peratus.

“Ini bermakna kadar jangkitan masih rendah berbanding ketika kemuncak Omicron dan Delta, namun kita masih perlu berhati-hati kerana kadar positif masih melebihi 10 peratus,” kata Wiku.

Menurut beliau, peningkatan kadar positif itu menunjukkan bahawa kes jangkitan Covid-19 meningkat dalam kalangan masyarakat.

Jumlah kampung yang dipantau sejak sebulan lalu juga mula menunjukkan trend peningkatan kes walaupun tidak berlaku secara ketara.

Oleh yang demikian, Wiku memberi amaran bahawa adalah menjadi keperluan untuk menzahirkan strategi vaksinasi Covid-19 di Indonesia dengan mempercepatkan pemberian dos lengkap dan penggalak bagi mencapai tahap imuniti optimum.

“Pada masa ini, tugas kita bukan saja untuk memastikan kita diberi vaksin lengkap, tetapi juga kepada orang di sekeliling kita. Ini kerana matlamat utama kita adalah untuk membina imuniti kolektif, bukan individu,” katanya.

Menurut tinjauan serologi yang dijalankan Kementerian Kesihatan dan Fakulti Kesihatan Umum Universiti Indonesia (FKM UI) pada Julai lalu, hampir semua rakyat Indonesia memiliki antibodi bagi melawan Covid-19.

Penyelidikan yang menjalankan pemeriksaan terhadap sampel darah daripada 20,501 individu dari 100 bandar di seluruh negara, mendapati 98.5 peratus daripadanya memiliki antibodi bagi melawan virus berkenaan, hasil divaksinasi atau jangkitan sebelum ini.

Angka itu meningkat 10 peratus berbanding 87.8 peratus yang direkodkan dalam tinjauan sama pada Disember tahun lalu, membabitkan jumlah responden sama.

Seorang daripada penyelidik itu, Muhammad N Farid, berkata purata antibodi ditemui pada responden turut meningkat empat kali ganda berbanding tinjauan darah pada Disember tahun lalu, meningkat daripada 444 kepada 2,097 unit setiap mililiter (mm).

Related posts

Leave a Comment