Kes harian Covid-19 Malaysia turun

PUTRAJAYA 15 Ogos – Kes harian Covid-19 di negara ini menunjukkan sedikit penurunan dengan 3,045 kes dicatatkan semalam berbanding 4,334, kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,735,547 kes.

Menurut data laman sesawang COVIDNOW, jumlah kes baharu itu membabitkan 3,040 kes penularan tempatan, manakala lima lagi adalah kes import, yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak 43,431 kes masih aktif, dengan 96.2 peratus atau 41,759 individu sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Pada masa yang sama, sebanyak 1,567 kes atau 3.6 peratus sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (33), unit rawatan rapi (ICU) (72 kes) dan 46 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, lima kematian dilaporkan, semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 meningkat kepada 36,085 orang.

Tiga daripada kes kematian dilaporkan di Kedah, manakala satu kes dicatatkan masing-masing di Johor dan Perak. Tiada kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) dilaporkan semalam.

Sebanyak 4,226 kes dilaporkan sembuh semalam, menjadikan jumlah kes pulih di negara ini adalah 4,656,031 kes.

Related posts

Leave a Comment