Remaja rancang serang dua masjid

SINGAPURA 27 Jan. – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Disember lalu kerana didakwa merancang dan membuat persiapan untuk melakukan serangan ke atas dua buah masjid di sini.

Tahanan termuda ISA dan yang pertama dipengaruhi ideologi pelampau sayap kanan itu merancang menyerang Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyafaah  semasa ulang tahun serangan pengganas di masjid Christchurch, New Zealand pada 15 Mac.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri hari ini, remaja India, penganut Kristian Protestan itu menjadi radikal didorong rasa benci terhadap Islam dan cenderung ke arah keganasan.

Siasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menunjukkan perancangan dan persediaan remaja itu dipengaruhi perbuatan Brenton Tarrant, lelaki yang melancarkan serangan ke atas dua masjid di Christchurch pada 2019.

Remaja itu menonton video yang dipaparkan secara langsung di media sosial oleh Tarrant semasa melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood ketika itu.

Dia juga membaca manifesto Tarrant dan menonton video-video propaganda ISIS dan membuat kesimpulan bahawa ISIS mewakili agama Islam dan Islam menyuruh penganutnya supaya membunuh orang bukan Islam.

Remaja itu memilih tarikh ulang tahun kedua serangan di Christchurch untuk melancarkan serangannya di Masjid Assyafaah di Sembawang dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands kerana ia berdekatan dengan rumahnya.

Dalam persiapan serangan itu, dia membeli jaket ves taktikal secara online dan merancang menampal lambang pelampau sayap kanan dan mengubah suainya supaya dapat meletakkan alat rakaman untuk menyiarkan serangan secara langsung seperti  dilakukan Tarrant.

Berkaitan senjata, dia mulanya mahu menggunakan senapang tetapi membatalkannya walaupun sudah mendapatkan seorang penjual menerusi platform mesej privet kerana mengesyaki penjual melakukan penipuan.

Selepas menyedari sukar untuk mendapatkannya disebabkan undang-undang senjata api yang ketat, dia cuba beralih kepada bom  jenis Triacetone Triperoxide (TATP) tetapi membatalkannya atas sebab logistik dan keselamatan dirinya.

Dia akhirnya memilih parang machete sebagai senjata dan ketika ditangkap masih belum membeli tetapi sudah menemui parang berkenaan di laman Carousel

Seperti Tarrant, dia juga menyiapkan dua dokumen yang mahu diagihkan sebelum melancarkan serangan.

Dokumen pertama adalah mesej kepada rakyat Perancis, yang ditulis selepas serangan ke atas masyarakat Kristian di sebuah gereja di Nice, Perancis pada 29 Oktober 2020. Dia menggesa orang Perancis supaya “perjuangkan kebenaran” dan mendakwa bahawa “kita tidak boleh membiarkan mereka (Muslim) berada di samping kita dan menunggu hingga mereka menyerang (kita)”.

Dokumen kedua, yang masih belum habis ditulis semasa ditangkap, adalah manifesto yang memberikan perincian rasa bencinya terhadap Islam dan dia percaya bahawa “keganasan tidak sepatutnya dihuraikan menerusi keamanan” kerana meskipun keamanan itu “baik dari moral” ia “tidak berkesan”.

Semasa sisatan, dia mengaku meramalkan dua akibat daripada perancangannya itu iaitu sama ada dia ditangkap sebelum dapat melancarkan serangan itu atau dia dapat melancarkan serangan tersebut namun kemudian mati di tangan polis.

(Foto ISD, dua masjid dari FB)

Related posts

Leave a Comment