KUALA LUMPUR 14 Ogos – Projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tiada kaitan dengan mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN) dan isu itu tidak boleh dibiarkan menjadi fitnah yang merosakkan parti.
Justeru Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menggesa Biro Penerangan parti memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan kepada rakyat di akar umbi supaya mereka tidak terpengaruh dengan fitnah baharu yang ditaburkan.
Katanya, isu LCS kelihatan seperti jadual serangan yang didakwanya direka oleh pembangkang sebagai alat terbaharu untuk memfitnah BN.
“Nampaknya macam ada jadual serangan terhadap kita yang sedang direka bentuk pembangkang. Lepas satu, satu (fitnah) direka, lepas habis LCS ini, akan ada lagi isu yang mereka buat.
“Jadi menjadi peranan Biro Penerangan parti untuk menangkis tuduhan ini,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menarik tumpuan sehingga ada menjangkakan ia boleh menjejaskan momentum BN dalam menghadapi PRU-15.
Laporan status projek LCS oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu juga diambil kesempatan oleh pembangkang untuk melancarkan serangan membunuh karakter, khususnya Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.
Turut menjadi mangsa adalah pemimpin UMNO, BN yang lain, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Mohamad menjelaskan, LCS sebenarnya adalah isu pentadbiran syarikat yang mana dalam laporan Ketua Audit Negara, kapal tempur itu tidak siap dan tidak dihantar mengikut masa yang ditentukan.
“Sebaliknya, pembangkang mengeluarkan fitnah menyatakan kapal itu lesap dan seolah-olah LCS itu milik BN. Fitnah ini nampaknya semakin tidak terkawal, BN dituduh, sedangkan tiada kena mengena dengan BN, ini isu pentadbiran syarikat.
“Jika betul (ada kes), ambil tindakan seperti yang dikatakan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah (SPRM) menyiasat. Jika ada penyalahgunaan dan kelemahan, biar pihak berkuasa yang ambil tindakan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, tiada duit yang lesap dalam isu LCS kerana peruntukan itu digunakan bagi membeli peralatan perang, namun andaian berhubung dana itu menjadi kepercayaan umum, sekali gus BN perlu kehadapan menerangkan keadaan sebenar.
“Biro penerangan perlu jadikan isu semasa seperti LCS sebagai keutamaan untuk diterangkan kepada umum terutama dalam menghadapi PRU. Kita tidak boleh lagi ambil pendekatan bertahan atau berdiam diri dan tidak menjawab isu yang dikaitkan dengan parti kerana akan dianggap terbabit.
“Jangan biarkan rakyat terpersona dengan fitnah ini, mereka akan kata apa saja untuk musnahkan kita, jadi kita kena menongkah, membidas dan memberikan fakta yang benar untuk pertahan diri kerana orang ramai kini melihat perkara itu sebagai satu kebenaran,” katanya.
Menegaskan rakyat perlu diberi penerangan, Mohamad mendakwa, isu LCS adalah kerana kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menghentikan projek itu selepas mentadbir negara pada 2018 bersama beberapa projek lain, termasuk berkaitan perumahan dan pusat ibadat.
“Apabila projek dihentikan, maka akan berlaku gangguan kepada jadual kerja projek. Seperti LCS, mereka yang hentikan, mengapa kita nak dituduh. Mereka kemudian mahu sambung kembali apabila Kementerian Pertahanan beritahu kelewatan projek, tetapi tak sempat kerana PH tumbang,” katanya.
Beliau menjelaskan pembinaan kapal perang tidak sama seperti membina perahu kerana peralatannya ditempah di negara yang berbeza dan membabitkan syarikat berlainan.
Awal minggu ini, Jemaah Menteri menggesa supaya SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik TLDM itu.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan perkara itu secara terperinci turut meminta Peguam Negara, Idrus Harun, membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Kabinet juga memutuskan supaya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, berhubung projek berkenaan dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.
Jemaah Menteri turut mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan selepas mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion dibayar secara rundingan terus.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir Azhar Jumaat yang membawa media ke limbungan pembinaan kapal itu di Lumut, menegaskan semua kelengkapan dan peralatan bagi projek terbabit yang disimpan dalam stor masih boleh beroperasi.
Katanya lagi, semua kelengkapan dan peralatan itu yang dianggarkan bernilai RM1.7 bilion masih boleh digunakan 100 peratus, tidak usang dan masih mempunyai jangka hayat selama 27 tahun.
Menjawab tuduhan LCS sebagai ‘halimunan’ susulan laporan mengaitkannya sebagai projek gagal dan skandal, Azhar menegaskan, LCS bukan kapal halimunan atau diperbuat daripada kayu, sebaliknya dibina menggunakan logam sebenar, juga bukan kapal replika.
Pada 4 Ogos lalu, PAC dalam laporan prosiding berkaitan projek itu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.
Ia termasuk meminta SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik dan laporan JKSTUPKK serta Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan dan laporan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.
