BN turun calon boleh menang

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dibuat secara berhati-hati kerana BN mahu menang dan menubuhkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, pemilihan calon tidak tertakluk kepada kuota muka baharu atau 30 peratus calon mesti diisi wanita sebaliknya akan menurunkan calon yang benar-benar diyakini boleh menang.

Katanya, BN sudah membuat percubaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor serta pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini dengan menampilkan ramai muka baharu dan calon wanita, yang terbukti berjaya.

“Kita akan lihat keadaan, ada keadaan di mana orang lama masih diperlukan kerana boleh menang dan ada keadaan, orang lama tidak boleh diterima lagi. Kita tidak boleh membuat pertimbangan ‘pukul rata’.

Kita mesti berubah dengan menampilkan semua muka baharu? Tidak, sebaliknya ada muka lama, jika beliau tidak ada, kita kalah. Bagi 30 peratus calon wanita, kita akan cuba yang terbaik memenuhi kehendak ini.

“Saya tidak boleh nak janji kerana kita mesti betul-betul pilih, jangan sebab hanya untuk memenuhi kuota kerana kita masuk PRU untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata perkara itu akan diputuskan secara konsensus oleh empat parti komponen BN.

“Keempat-empat parti ini mesti setuju, jika satu tidak setuju, tidak boleh. Itu yang kita lakukan dalam BN, persetujuan mesti membabitkan semua parti,” katanya.

PBM yang diterajui Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan menyertai BN tiga minggu lalu, bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu dalam menghadapi PRU-15.

Related posts

Leave a Comment